ThePost

ThePost

Share

25/05/2026

Korban Bukan Sekadar Menyembelih Binatang, Tetapi Menyembelih Sifat Kebinatangan Dalam Diri

Setiap kali tibanya Hari Raya Aidiladha, ramai melihat ibadah korban hanya sebagai ritual menyembelih haiwan ternakan seperti lembu, kambing atau unta. Namun hakikat sebenar korban jauh lebih mendalam daripada sekadar darah yang mengalir atau daging yang diagihkan kepada masyarakat.

Hakikat korban sebenarnya adalah simbolik kepada perjuangan manusia menyembelih sifat kebinatangan yang wujud dalam diri sendiri. Binatang korban hanyalah perantaraan, sedangkan “korban” yang paling besar ialah kemampuan manusia menundukkan hawa nafsu, ego dan sifat kebinatangan yang merosakkan akhlak.

Dalam Islam, ibadah korban bukan sekadar soal fizikal. Ia membawa mesej spiritual yang sangat besar. Korban mengajar manusia tentang ketaatan, keikhlasan dan pengorbanan diri demi mendekatkan diri kepada Allah.

Ramai sanggup mengeluarkan wang untuk melakukan korban, tetapi masih gagal mengorbankan sifat dengki, sifat tamak, sifat marah, sifat riak, sifat bongkak, dan sifat pentingkan diri sendiri. Ramai mampu membeli lembu, tetapi tidak semua mampu menyembelih sifat bodoh sombong dalam diri, itulah “binatang sebenar” yang perlu ditewaskan.

Manusia mempunyai akal, tetapi apabila gagal mengawal nafsu, manusia boleh menjadi lebih buruk daripada binatang. Sebab itu ibadah korban hadir sebagai peringatan setiap tahun supaya manusia kembali menilai diri.

Ada manusia yang bersifat seperti harimau ganas dan s**a menindas, seperti ular yang penuh tipu daya, anjing liar setia kepada siapa yang memberi walaupun yang akan mencuri di rumah tuannya, seperti babi yang rakus dan tamak, bersifat seperti musang yang licik dan bijak berpura-pura.
itulah rupa bentuk sifat binatang dalam diri manusia.

Semua sifat ini jika tidak dikawal akan merosakkan kehidupan individu, keluarga dan masyarakat. Maka ibadah korban sebenarnya mendidik manusia supaya “menyembelih” sifat-sifat tersebut sebelum ia menguasai jiwa.

Kisah Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS menjadi simbol ketaatan yang luar biasa. Nabi Ibrahim sanggup mengorbankan perkara paling disayangi kerana patuh kepada perintah Allah.

Daripada kisah itu, umat Islam belajar bahawa pengorbanan bukan hanya tentang harta atau binatang ternakan, tetapi tentang melawan kehendak diri sendiri demi sesuatu yang lebih baik.

Korban terbesar dalam hidup ialah mengorbankan ego demi perdamaian, mengorbankan kemarahan demi kasih sayang, mengorbankan kebencian demi persaudaraan dan mengorbankan sifat buruk demi menjadi manusia yang lebih baik.

Islam menegaskan bahawa yang sampai kepada Allah bukan darah atau daging korban semata-mata, tetapi keikhlasan dan ketakwaan manusia.

Seseorang boleh menyembelih banyak ekor lembu, tetapi jika hati masih dipenuhi kesombongan dan kebencian, maka roh pengorbanan itu belum benar-benar hidup dalam dirinya.

Sebab itu Aidiladha sepatutnya menjadi medan muhasabah untuk setiap insan, Apakah sifat buruk dalam diri yang sudah aku korbankan tahun ini, persoalan yang harus ditanya setiap kali mengerjakan ibadah korban.

Rahsia korban bukan sekadar menyembelih binatang ternakan. Binatang korban hanyalah simbol dan perantaraan. Korban yang sebenar ialah usaha manusia menyembelih sifat kebinatangan dalam dirinya sendiri.

Agar tiada lagi kedengaran cerita anak bunuh ibu bapa, atok merogol cucunya, pasangan membunuh kekasihnya, suami memukul isteri dan seterusnya yang kita tatap saban hari.

Apabila manusia berjaya mengorbankan sifat ego, dendam, tamak dan kezaliman, maka lahirlah insan yang lebih tenang, lebih beriman dan lebih berperikemanusiaan.

Itulah roh sebenar Aidiladha ia bukan sekadar korban pada jasad binatang, tetapi korban pada nafsu dan sifat buruk dalam diri manusia.

Selamat menyambut Aidil Adha, Semoga Allah SWT menerima korban kita.

Sekian

25/05/2026

Felda Bukan Lagi “Fixed Deposit” UMNO

Suatu ketika dahulu, kawasan Felda sering dianggap sebagai “fixed deposit” kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN). Sokongan masyarakat peneroka begitu kuat sehingga parti itu bukan sekadar organisasi politik, malah menjadi sebahagian daripada identiti hidup generasi awal Felda.

Perubahan demografi, telah merobah realiti tersebut bila berlakunya penghijrahan generasi muda ke bandar, perubahan corak pekerjaan dan perkembangan sosial masyarakat telah mengubah landskap politik Felda secara perlahan tetapi ketara.

Generasi awal peneroka Felda mempunyai hubungan emosi yang sangat kuat dengan UMNO. Sukar untuk menilai kesetiaan Generasi lama terhadap UMNO, ramai dalam kalangan mereka melihat parti itu sebagai pihak yang membantu mengubah kehidupan masyarakat Melayu luar bandar daripada kemiskinan kepada kehidupan yang lebih stabil.

Mungkin bagi sesetengah orang ia kelihatan kecil, namun bagi generasi lama, ia melambangkan kesetiaan dan penghargaan terhadap perjuangan yang mereka percaya sejak puluhan tahun lalu.

Cabaran hari ini adalah generasi itu kini semakin berkurangan malah suasana kampung di Felda tidak lagi seperti dahulu, malah ramai anak muda dahulu kini telah berusia lebih 50 tahun dan majoritinya sudah berhijrah keluar dari Felda.

Penghijrahan anak Felda telah bermula sejak 1990-an lagi, antara faktor utama perubahan ini ialah ramainya yang menetap di bandar dan bekerja dalam sektor perkilangan, pendidikan, perkhidmatan serta pelbagai sektor lain.

Dalam masa sama, isu tanah Felda yang tertakluk di bawah Akta GSA 1960 turut menyukarkan proses pembahagian harta secara faraid. Penutupan pembukaan tanah rancangan baharu dan pengambilan peneroka baharu bermula seawal 1990an menyebabkan peluang penempatan generasi seterusnya semakin terbatas.

Keadaan ini akhirnya menyebabkan ramai generasi kedua dan ketiga mendaftar sebagai pengundi di tempat mereka bermastautin, bukannya di kampung halaman asal, hal ini semakin jelas apabila ramai anak Felda sendiri tidak lagi menjadi pengundi di kawasan asal mereka.

Perubahan sosial ini turut memberi kesan kepada corak sokongan politik masyarakat Felda. Golongan tua yang masih tinggal di kampung kini lebih mudah didekati oleh kelompok yang aktif dalam aktiviti masyarakat dan keagamaan. Aktivis PAS dilihat lebih dekat dengan komuniti.

Kita dapat melihat hari ini aktiviti surau dan masjid, pengurusan jenazah, ziarah kematian, program keagamaan dan bantuan komuniti harian kebanyakkannya dimonopli oleh aktivis dari PAS.

Bagi warga emas, kehadiran berterusan dalam kehidupan masyarakat telah memberi kesan yang sangat besar, dalam keadaan anak-anak telah ramai berhijrah ke bandar dan berjauhan dari golongan tua mereka lebih mudah dipengaruhi oleh individu yang sentiasa bersama mereka dalam urusan harian.

Landskap politik Felda hari ini jauh berbeza berbanding era 1970-an hingga 1990-an, Naratif sejarah dan jasa pembangunan semata-mata mungkin tidak lagi mencukupi untuk mengekalkan sokongan generasi baharu.

Anak muda Felda hari ini lebih menilai peluang pekerjaan, kos sara hidup, masa depan ekonomi, integriti kepimpinan dan kehadiran sebenar parti dalam kehidupan masyarakat mereka.

Jika UMNO mahu kembali mengukuhkan pengaruh di kawasan Felda, pendekatan lama perlu berubah.

Politik moden bukan lagi sekadar bergantung kepada nostalgia dan sejarah, tetapi siapa yang benar-benar hadir bersama masyarakat ketika susah, sakit dan memerlukan bantuan.

Perubahan Felda hari ini bukan sekadar perubahan politik, tetapi perubahan sebuah generasi.

Sekian.

19/05/2026

Selesai Atau Tinggalkan

Setiap manusia pasti akan berhadapan dengan masalah. Ada masalah kecil yang boleh diselesaikan dalam sehari, dan ada juga masalah besar yang memerlukan masa, pengorbanan dan kekuatan jiwa untuk dihadapi.

Perkara yang paling memenatkan bukanlah masalah itu, tetapi apabila seseorang memilih untuk terus hidup bersama masalah tanpa membuat keputusan untuk menyelesaikan atau meninggalkannya.

Ramai yang terperangkap dalam keadaan ini. Mereka tidak bergerak ke hadapan, tetapi pada masa yang sama tidak juga berundur. Akhirnya hidup menjadi beban yang berpanjangan. Hati menjadi letih, fikiran menjadi sempit, dan jiwa semakin hilang arah.

Sedarlah, setiap masalah memerlukan tindakan. Jika sesuatu masalah masih boleh diperbaiki, maka berusahalah untuk menyelesaikannya. Duduk berbincang, cari jalan keluar, belajar menerima kesilapan, dan berani berubah.

Kadangkala ego menjadi penghalang utama kepada penyelesaian. Ada orang terlalu takut kalah, terlalu takut dipandang lemah, sehingga sanggup memendam masalah bertahun-tahun lamanya.

Tidak semua masalah boleh diselesaikan seperti yang kita mahukan. Ada hubungan yang sudah terlalu rosak untuk dipulihkan. Ada persekitaran yang terlalu toksik untuk terus didiami.

Ada manusia yang tidak akan berubah walau sebanyak mana peluang diberikan. Dalam keadaan seperti itu, meninggalkan masalah bukan bererti kalah, tetapi satu bentuk keberanian untuk menyelamatkan diri sendiri.

Apa yang paling merosakkan ialah apabila seseorang memilih untuk hidup bersama masalah tanpa tindakan.

Hari-hari dipenuhi keluhan, tetapi tiada usaha untuk berubah. Hidup dalam tekanan, tetapi takut membuat keputusan. Terus bertahan dalam kesakitan kerana sudah terlalu biasa berada dalam keadaan itu.

Keadaan ini perlahan-lahan membunuh semangat manusia. Senyuman menjadi palsu, tidur tidak lagi tenang, dan kehidupan hilang nikmatnya.

Ingatlah masalah yang dibiarkan terlalu lama akan menjadi rantai yang mengikat masa depan seseorang.

Adakala keputusan paling s**ar ialah membuat pilihan. Sama ada mahu bertahan dan memperbaiki keadaan, atau melangkah pergi demi kehidupan yang lebih baik.

Membuat keputusan tetap lebih baik daripada terus hidup dalam penderitaan yang sama setiap hari.

Hidup ini terlalu singkat untuk dihabiskan dengan memikul masalah yang tidak pernah cuba diselesaikan. Jangan biasakan diri hidup dalam luka yang sama sehingga menganggap kesakitan itu sebagai perkara normal.

Jika boleh diperbaiki, perbaikilah.

Jika tidak boleh diperbaiki, lepaskanlah.

Tetapi jangan biarkan diri hidup terpenjara dalam masalah yang sama sepanjang hayat.

Sekian.

Hj.Ob
19 Mei 2026
Desa Serdang

12/05/2026

Dulu kini selamanya

Want your business to be the top-listed Media Company in Shah Alam?
Click here to claim your Sponsored Listing.

Website

Address


Shah Alam