Muhammad Rafique Rashid Ali
Pembunuhan Ismail Haniyeh Kekejaman Zionis Israel!
1. Pejuang mengutuk pembunuhan Ismail Haniyeh di Tehran, Iran hari ini.
2. Perbuatan terkutuk dan hina ini mesti dilawan sekeras-kerasnya oleh masyarakat dunia. Rejim Zionis Israel yang bertanggungjawab mesti dibawa ke muka pengadilan.
3. Sehingga kini Israel masih terus-menerus tanpa belas kasihan membunuh dan melakukan jenayah perang serta genosida terhadap rakyat Palestin yang hanya mahu kebebasan dan kemerdekaan tanah air mereka.
4. Pejuang menggesa agar pemimpin-pemimpin dunia memutuskan hubungan diplomatik dan ekonomi dengan Israel serta-merta. Israel mesti dilabel sebagai pariah state!
5. Masa untuk persidangan, perbincangan atau rundingan tidak lagi relevan. "Two-state solution" bukan penyelesaian.
6. Pejuang merakamkan takziah serta ucapan Allahummaghfirlahu war hamhu wa afihi wa fuanhu, kepada keluarga , sahabat handai, kenalan, serta masyarakat Palestin atas syahidnya Ismail Haniyeh.
7. Dunia telah hilang seorang insan yang hebat, pemimpin pembebasan Palestin yang ulung serta seorang manusia yang amat merendah diri dan disenangi oleh sesiapa sahaja yang berjumpa beliau.
8. Moga peristiwa pembunuhan Ismail Haniyeh menyemarakkan lagi semangat perjuangan pembebasan Palestin dan Masjid Al-Aqsa dari tangan rakus Zionis Israel.
9. Pejuang memanggil kesemua ahli-ahlinya serta rakyat Malaysia keseluruhannya untuk menyahut seruan solidariti dengan mana-mana pihak yang menganjurkan mana-mana perhimpunan atau acara protes besar-besaran terhadap Israel dan sekutunya Amerika akibat tindakan terkutuk ini.
Rafique Rashid
Ketua Penerangan Pejuang
31.07.2024
12.53pm
Demokrasi Yang Di-Kafankan.
1. Parlimen berasal dari terma Perancis. " Parler" maksudnya " bercakap". Dewan Rakyat maksudnya dewan untuk Rakyat bercakap melalui wakil yang dipilih oleh Rakyat.
2. Kini kita tahu Machang telah digantong 6 bulan. Maknanya suara Machang tiada dalam Parlimen.
3. Kerajaan telah usulkan agar Machang digantung 6 bulan. Usul ini adalah akibat , menurut Kerajaan , tindakan Machang yang memetik nama pegawai KWSP yang didakwa menjadi dalang dalam isu penjualan saham terkait dengan penswastaan MAHB.
4. Kerajaan dalam membawa Usul tersebut menyatakan ianya perlu kerana nama penjawat awam perlu dibela. Kata Kerajaan lagi , surat layang yang dibawa Machang berunsur fitnah yang kalau tidak dihalang akan menyebabkan "floodgate", isu-isu lain boleh disandar pada surat layang tanpa bukti dan tanpa orang yang dinamakan mempertahan dirinya.
5. Persoalan paling utama yang perlu dilihat Rakyat adalah mengapa pihak yang menjadi subjek perkara Usul itu yakni Machang tidak dibenar pertahan diri?
6. Bukankah hak mempertahan diri itu hak asasi mana-mana Rakyat? Bukankah ianya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan?
7. Bagaimana p**a dengan Usul yang dibawa , bukankah ianya juga defektif? Bagaimana pegawai KWSP dikatakan penjawat awam?
8. KWSP ditubuh bawah Akta KWSP. Pegawai KWSP tidak tergolong sebagai penjawat awam dibawah peruntukan Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan. Bagaimana isu ini tidak dapat difahami oleh mereka di blok Kerajaan?
9. Ada hujah yang mengatakan definisi pegawai KWSP dibawah Seksyen 70 Akta KWSP melayakkan pegawai itu sebagai penjawat awam. Tetapi lihat balik Seksyen 70 tersebut ianya bagi tujuan pendakwaan bawah Kanun Keseksaan. Maka Kanun Keseksaan tidak boleh melangkaui Perlembagaan Persekutuan.
10. Ada p**a yang katakan isu ini isu surat layang . Baik, kalau isunya isu surat layang, mengapa tidak benar Machang pertahan diri dan jelaskan mengenai surat layang tersebut?
11. Ada juga yang dakwa bagaimana p**a nasib pegawai KWSP tersebut? Siapa yang akan bela dia? Baik, kalau begitu bukankah Kerajaan boleh bela dia dalam Parlimen? Bukankah pembelaan itu boleh sahaja dilakukan selepas dengar Machang?
12. Tidak berapa lama dulu, ahli-ahli dalam blok Kerajaan semasa jadi pembangkang melantun dalam Dewan apabila ahli mereka digantung. Kata mereka perlu tubuh jawatankuasa khas.
13. Kalau begitu,mengapa tidak rujuk Machang ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Kebebasan Asasi dan Hak-Hak di Bawah Perlembagaan? Bukankah ini tatakelola terbaik? Bukankah ini akan bolehkan Machang bela diri dan serah bukti-bukti? Bukankah kalau benar wujud dalang dalam hasil penjualan aset Negara , Rakyat perlu tahu?
14. Namun,dengan Usul diluluskan setelah undi belah bahagi, nampaknya semua itu tidak berguna lagi.
15. Maka timbul pakar-pakar. Yang ada ijazah undang-undang, yang miliki ijazah tetapi tidak beramal sebagai Peguam, tidak kurang juga yang ada ijazah undang-undang tetapi menulis sahaja serta paling ramai pakar pentaksub Kerajaan yang mula putarkan isu.
16. Dari isu surat layang ke isu Qunut Nazilah. Dari isu KWSP itu penjawat awam ke isu kewajipan pertahan penjawat awam.
17. Tetapi dimanakah hak Rakyat yang berhak tahu betulkah ada dalang dalam penjualan dan penswastaan aset Negara?
18. Ya, kekebalan parlimen tidak harus disalahguna. Tetapi adakah kekebalan parlimen boleh disalahguna untuk halang Rakyat dari bertanya? Bukankah bertanya itu hak Rakyat yang suaranya dibawa oleh wakil yang mereka sendiri pilih?
19. Akhirnya, siapa hendak bersuara kalau dewan untuk bersuara pun disenyapkan?
20. Demokrasi telah dikafankan!
Rafique Rashid
Ketua Penerangan Pejuang
20.07.2024
Dengan Izin, Yang Di-Pertua.
1. Melalui surat bertarikh 9 Julai 2024, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Speaker Parlimen Malaysia, mengarang hampir 3 muka surat memberi alasan menolak pengosongan kerusi oleh Ahli Dewan Rakyat Bersatu yang dikatakan lompat parti.
2. Antara alasan yang diberikan adalah prinsip keluhuran perlembagaan serta Perlembagaan Persekutuan dan konsep kestabilan politik.
3. Speaker juga merujuk kepada Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang pada satu ketika dulu beliau sendiri sokong dan dokong malah hujahkan perlu untuk pastikan aspirasi Rakyat terjaga.
4. Tetapi nampaknya berada di atas jauh lebih susah melihat kepada situasi sebenar. Mungkin ini sindrom yang melanda Negara. Mereka yang di kerusi empuk mudah lupa, Melayu atau tidak.
5.Keputusan Speaker jelas salah disisi undang-undang dan tidak langsung bertepatan dengan Perlembagaan. Ianya " constitutionally wrong."
6. Semangat dan niat, " the spirit and intention", yang membawa Dewan Rakyat mula-mula sekali menggubal Perkara 49A adalah agar tiada lagi lompatan katak oleh ahli-ahli politik yang akhirnya beralaskan atas nama Rakyat tetapi sebenarnya penipuan demi wang, kuasa, sokongan kepada PM (X atau lain-lain), jawatan, hendak lepas kes, DNAA, dan sebagainya.
7.Perbuatan menunjuk sokongan kepada sesiapa yang jelas bertentangan dengan arahan parti yang diwakili oleh mana-mana Ahli Dewan Rakyat adalah contoh sahih lompatan, dan wajib diperangkap oleh Perkara 49A.
8.Malaysia mengamal konsep demokrasi berparlimen berdasar sistem parti politik. Ini diwarisi dari British. Seorang Ahli Dewan Rakyat dipilih melalui pilihanraya kerana parti-nya bukan atas individu. Kerana itu kalau tanding sebagai Bebas dan menang tetapi lepas itu masuk parti ianya dikira lompat juga. ( Lihat lagi sekali Perkara 49A).
9. Apabila seseorang itu masuk sebagai ahli mana-mana parti politik dan kemudian dipilih sebagai wakil Rakyat hasil undi oleh Rakyat, dia mewakili rakyat melalui partinya. Dia harus ikut arahan parti. Logiknya mudah: rakyat memilih kerana parti yang diwakilinya bukan kapasitinya sendiri.
10. Speaker perlu baca juga petikan dari keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes berkaitan Undang-Undang Lompat Parti Pulau Pinang dimana Ketua Hakim Negara , Yang Amat Arif Tun Tengku Maimun bin Tuan Mat telah menyatakan :
"..Once he is in the House or State Legislature, the nature of his association takes on a different character in that it is no longer his personal right to associate but now governed by the ticket he stands on upon having been given the mandate by the electorate that entrusted him in that position..'
11. Keputusan di Mahkamah Persekutuan ini telah secara jelas meletakkan had kepada kebebasan berpersatuan kerana ianya satu yang penting dari segi moral. Mengapa? Sebab ia berkaitan prinsip, amanah, tanggungjawab dan berkata benar kepada pemilih, pengundi yang beratur tengah panas , berkerumun di pentas politik percaya pada ceramah yang ada logo, lambang parti.
12. Maka, sebenarnya pindaan yang membawa kepada Perkara 49A jelas memihak kepada parti bukan hak sesuka hati individu tersebut. Apatah lagi bilamana ia ada kaitan dengan pelbagai ugutan dan sogokan.
13. Pendeknya, keputusan Speaker jelas salah dari segi undang-undang dan harus dicabar di Mahkamah.
14. Jalan terbaik adalah memfail Semakan Kehakiman di Mahkamah Tinggi dan apabila dibantah oleh Jabatan Peguam Negara atas alasan keputusan Speaker muktamad kerana Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan , wajib bagi Perikatan Nasional atau Bersatu khususnya menggunapakai Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 ( Akta 91) untuk merujuk persoalan perlembagaan ini terus ke Mahkamah Persekutuan.
15. Dengan izin Speaker, anda khilaf dan wajib diperbetulkan...
Rafique Rashid
Ketua Penerangan Pejuang
10.07.2024
Click here to claim your Sponsored Listing.
Category
Telephone
Website
Address
Shah Alam