ELITISTA
15/07/2026
BESS Bakal Jadi Pemacu Baharu Sektor Tenaga Boleh Baharu Malaysia
Selepas bergerak agak perlahan pada separuh pertama 2026, sektor tenaga boleh baharu Malaysia dijangka kembali rancak dalam baki tahun ini.
Sebelum ini, ramai pemaju memilih untuk tunggu dan lihat kerana keadaan geopolitik yang tidak menentu serta turun naik harga bahan. Keadaan itu menyebabkan pemberian kontrak baharu agak perlahan. Kini, lebih banyak projek mula bergerak ke fasa pembinaan, pelaksanaan dan penghantaran, jadi aliran kerja sektor ini dijangka mula pulih.
Antara pemacu terbesar ialah pertumbuhan pesat pusat data di Malaysia. Pusat data perlukan bekalan elektrik yang besar, stabil dan berterusan. Bila lebih banyak pusat data dibina, permintaan terhadap tenaga hijau turut meningkat. Ini membuka ruang lebih besar kepada projek solar, naik taraf grid dan sistem penyimpanan tenaga.
Malaysia menyasarkan tenaga boleh baharu menyumbang sekitar 32% daripada kapasiti penjanaan elektrik terpasang pada 2026. Di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, sasaran itu dinaikkan kepada 35% menjelang 2030 dan 70% menjelang 2050.
Kerajaan juga sudah memperkenalkan Corporate Renewable Energy Supply Scheme atau CRESS bagi membolehkan syarikat mendapatkan bekalan tenaga hijau. Cuma kadar penyertaannya masih perlahan kerana caj akses sistem yang tinggi dan sukar dijangka.
Ketika ini, caj tersebut ditetapkan pada 20 sen bagi setiap kilowatt-jam untuk firm power dan 40 sen untuk non-firm power. Struktur caj ini menyebabkan banyak projek kurang menarik dari sudut komersial. Jika kadar itu disemak semula, lebih banyak syarikat mungkin bersedia menyertai CRESS.
Dari sudut kos solar p**a, harga modul global dijangka kekal agak stabil hingga hujung 2026. Penghapusan rebat cukai eksport 9% oleh China pada April telah menyebabkan harga modul naik sekitar 8% hingga 9.6% sejak awal tahun. Walaupun begitu, lebihan bekalan global dijangka mengekalkan harga sekitar US$0.11 hingga US$0.12 bagi setiap watt.
Tetapi cerita pertumbuhan selepas ini bukan lagi berkisar tentang panel solar semata-mata. Tumpuan semakin beralih kepada Battery Energy Storage System atau BESS.
BESS menyimpan tenaga solar yang dijana ketika siang untuk digunakan semula apabila pengeluaran menurun atau permintaan elektrik meningkat. Ia juga membantu menstabilkan grid apabila semakin banyak tenaga solar disambungkan kepada sistem elektrik negara.
Perkembangan ini sudah mula nampak. Sebanyak 400MW/1,600MWh kapasiti storan telah dianugerahkan di bawah program MyBeST, manakala Sabah Electricity mempunyai projek 100MW/400MWh di Lahad Datu.
Selepas ini, projek besar seperti Large Scale Solar 6 dan projek di bawah CRESS dijangka memasukkan keperluan storan tenaga. Ini boleh membuka pasaran BESS bernilai berbilion ringgit, termasuk kerja pembekalan bateri, pemasangan, penyambungan grid, sistem kawalan dan penyelenggaraan.
Pembelian bateri juga mungkin dipercepatkan dalam separuh kedua 2026. Pemaju dijangka cuba mendapatkan peralatan lebih awal sebelum China menghapuskan rebat cukai eksport bagi produk bateri mulai 1 Januari 2027, yang boleh menyebabkan kos meningkat.
Dalam kalangan syarikat tersenarai, Solarvest dan Samaiden dilihat berada dalam kedudukan baik untuk merebut peluang ini kerana mempunyai pengalaman dalam projek tenaga boleh baharu, kedudukan kewangan yang sihat dan aliran tunai operasi yang baik.
Segmen solar atas bumbung juga dijangka semakin aktif, disokong oleh program rebat SuRIA Home serta kemungkinan surcaj elektrik meningkat jika harga bahan api kekal tinggi. Setakat Mei 2026, pendaftaran Solar ATAP telah melebihi 10,000 permohonan, menunjukkan penerimaan pengguna kediaman dan komersial semakin baik.
Cuma dari sudut pendapatan syarikat tersenarai, solar atas bumbung mungkin belum memberi sumbangan sebesar projek utiliti. Hasil utama mereka masih banyak datang daripada kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan projek berskala besar.
Secara keseluruhan, sektor tenaga boleh baharu Malaysia sedang masuk ke fasa baharu. Solar masih menjadi asas, tetapi BESS berpotensi menjadi pemacu besar seterusnya. Dengan pertumbuhan pusat data, sasaran tenaga hijau negara dan keperluan storan tenaga yang semakin besar, sektor ini nampaknya bersedia untuk kembali rancak.
15/07/2026
TIPS PASARAN SAHAM
Ramai orang datang mengadu perkara yang sama…
“Dah belajar macam-macam, tapi kenapa masih belum jumpa rentak dalam pelaburan saham?”
Ada yang dah masuk pelbagai kelas dan seminar. Berguru dengan ramai orang. Baca berpuluh buku. Cuba macam-macam teknik dan strategi.
Tapi hasilnya masih sama.
Malah ada yang kerugian semakin besar.
Masalahnya bukan semestinya sebab kita kurang ilmu.
Kadang-kadang kita terlalu banyak kumpul teknik, sampai tak tahu teknik mana yang betul-betul sesuai dengan diri sendiri.
Dalam pasaran saham, bukan semua kaedah boleh digunakan pada setiap masa. Ada cara yang sesuai ketika pasaran sedang rancak. Ada p**a yang lebih sesuai ketika pasaran perlahan, tidak menentu atau sedang jatuh.
Kita juga tak boleh ikut bulat-bulat cara orang lain.
Ada orang selesa pegang saham berbulan-bulan. Ada yang hanya tahan beberapa hari. Ada yang sanggup hadap turun naik besar. Ada p**a yang susah tidur apabila saham jatuh sedikit.
Selera, masa, modal dan tahap risiko setiap orang berbeza.
Sebab itu, teknik yang menjadi pada orang lain belum tentu menjadi pada kita.
Kalau kita rasa kaedah yang digunakan sudah lengkap dan kita benar-benar faham cara menggunakannya, sepatutnya hasilnya dapat dilihat pada prestasi.
Kalau hasil masih tidak berubah, mungkin sudah tiba masanya untuk berhenti menyalahkan pasaran, teknik atau guru.
Cuba tengok semula diri sendiri.
Adakah kita benar-benar ikut perancangan?
Adakah kita tahu bila sesuatu teknik patut digunakan?
Atau kita sebenarnya masih melompat dari satu teknik ke satu teknik setiap kali nampak orang lain buat untung?
Untuk konsisten, kita tak perlukan seribu teknik.
Kita cuma perlukan satu kaedah yang sesuai dengan diri, faham cara menggunakannya dan cukup disiplin untuk mengikutinya.
Click here to claim your Sponsored Listing.
Category
Contact the school
Telephone
Website
Address
Shah Alam