SMAP, LABU RASMI
05/06/2026
Selamat Kembali Ke Sekolah
أهلا ومرحبا إلى معهدنا المحبوب
معا نحو التفوق
23/05/2026
“Bangun… bangun… solat sunat dua rakaat sebelum Subuh…”
Dalam dingin pagi yang masih berselimut sunyi, sayup-sayup kedengaran suara seorang ayahanda memecah hening malam.
Suara itu bukan sekadar mengejutkan tidur, tetapi membangunkan jiwa.
Suara itu bukan sekadar seruan ke surau, tetapi panggilan menuju keberkatan dan kecemerlangan.
Begitulah rutinnya di SMA Persekutuan Labu.
Seawal jam 5.15 pagi, kelihatan kelibat Tuan Pengetua, Ustaz Abd. Rahman bin Abidin, sudah berada di Surau As-Syafii memimpin anak-anak SMAP menghidupkan Qiamullail. Dalam gelap malam, lahir cahaya tarbiah. Dalam sujud yang panjang, dibina jiwa-jiwa besar masa hadapan.
Dengan semangat “Sederap Menerajui Kecemerlangan”, beliau meneruskan legasi hebat yang pernah dibina oleh Tuan Haji Zulkifli bin Hamat melalui slogan “SmapianPower”. Namun kali ini, asas yang diperkukuhkan ialah pasak rohani — kerana sekolah hebat bukan hanya melahirkan pelajar cemerlang akal, tetapi insan yang hidup hatinya.
Di SMAP Labu, kecemerlangan tidak bermula di dewan peperiksaan.
Ia bermula di sepertiga malam.
Ia bermula dengan air mata taubat.
Ia bermula dengan langkah kaki menuju surau sebelum terbitnya fajar.
Rasulullah SAW bersabda:
“Hendaklah kamu melakukan qiamullail, kerana ia adalah amalan orang soleh sebelum kamu. Ia mendekatkan diri kepada Allah, menghapus dosa, mencegah maksiat dan menjadi penawar penyakit.”
(Riwayat al-Tirmizi)
Dan betapa indah janji Allah buat mereka yang menjaga Subuh berjemaah:
مَنْ صَلَّى صَلَاةَ الصُّبْحِ فَهُوَ فِي ذِمَّةِ اللَّهِ
“Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, maka dia berada dalam perlindungan Allah.”
(Riwayat Muslim)
Alhamdulillah, keberkatan itu mula dirasai.
Anak-anak SMAP semakin teratur kehidupannya. Tidur lebih awal, bangun lebih mudah, disiplin menuju semakin baik, pergerakan ke sekolah semakin lancar dan suasana asrama semakin baik. Bahkan waktu pagi yang penuh keberkatan itu menjadi medan terbaik untuk anak- anak menuntut ilmu dan mengulang kaji pelajaran.
Satu perkataan yang sentiasa meniti di bibir Tuan Pengetua ialah — “Syukur.”
Bagi ayahanda Tuan Pengetua, orang yang bersyukur tidak pernah rugi.
Allah tambah nikmatnya.
Allah angkat darjatnya.
Allah lapangkan jalannya.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’ ayat 79:
وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا
“Dan pada sebahagian malam hari, bertahajudlah kamu sebagai ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji.”
Untuk sampai ke tempat yang tertinggi, perjalanan itu mesti bermula dengan langkah yang terbaik.
Dan langkah terbaik seorang mukmin ialah sujudnya di waktu malam.
Kini seluruh warga SMAP — pengurusan, guru-guru, warden, ibu bapa, alumni dan murid-murid — sedang bergerak sederap dalam satu jiwa dan satu tekad. Saling menguatkan, saling mendukung dan saling mendoakan agar bumi SMA Persekutuan Labu terus melakar kecemerlangan dunia dan akhirat.
Tuan Pengetua telah menunjukkan jalannya.
Kini tiba masanya seluruh warga SMAP menggenggam tangan, menyusun langkah dan berlari bersama menuju kejayaan.
Ini kerana sekolah yang hebat bukan dibina dengan bangunan semata-mata, tetapi dengan jiwa yang dekat dengan Allah.
Tahun Ini Tahun Kita.
Guru Bitara Nadi Negara.
23/05/2026
MAJLIS LAMBAIAN KASIH, SANJUNGAN BUDI BUAT INSAN DIRAIKAN PN JAYALAKSHMI A/P MUTHUSAMY, KETUA PANITIA BAHASA INGGERIS SM AGAMA PERSEKUTUAN
Tarikh : 22 Mei 2026
Hari : Jumaat
Masa : 8.00 pagi - 11.30 pagi
Tempat : Surau As Syafie
Pada 22 Mei 2026 (Jumaat), telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang dan sarat emosi Majlis Lambaian Kasih, Sanjungan Budi bertempat di Surau As Syafie, bagi meraikan insan istimewa, Pn Jayalakshmi A/P Muthusamy, Ketua Panitia Bahasa Inggeris SMAP yang telah menaburkan bakti dan mencurahkan khidmat penuh dedikasi selama 34 tahun di bumi SMAP tercinta. ❤️
Majlis bermula seawal jam 8.00 pagi dengan suasana penuh meriah melalui persembahan caklempong yang mendendangkan rangkaian lagu Melayu dan Bollywood di Darul Qiadah, sekali gus menghidupkan nostalgia dan menceriakan suasana pagi.
Sesi diteruskan dengan bergambar beramai-ramai bersama tuan pengetua, para pentadbir, warga BAKEB, AJK PIBG, KSIB, ahli keluarga Pn Jaya, mantan guru-guru serta alumni SMAP sebagai simbol ukhuwah dan penghargaan yang tidak ternilai.
Kemuncak majlis menyaksikan perarakan masuk insan diraikan ke Surau As Syafie dengan penuh istiadat, diiringi alunan kompang yang menyentuh hati seluruh warga sekolah.
Majlis diteruskan dengan bacaan doa serta ucapan-ucapan penghargaan daripada pelbagai pihak antaranya wakil murid TKU, Muhammad Adam Yusof, Pengerusi BAKEB En Annuar Khisham Isa, YDP PIBG En Azmi bin Abdoll Aziz, Tuan Pengetua Ustaz Abd Rahman bin Abidin serta ucapan penuh makna daripada insan diraikan sendiri, Pn Jayalakshmi A/P Muthusamy.
Turut mencuri perhatian ialah tayangan video kenangan yang memaparkan ucapan daripada mantan guru, mantan murid serta warga sekolah yang pastinya mengundang rasa sebak dan syahdu. Persembahan sajak daripada murid dan guru turut menyemarakkan lagi suasana penghargaan terhadap jasa seorang pendidik yang begitu besar pengorbanannya.
Majlis diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah, sesi bergambar kenangan, sesi punch out buat kali terakhir serta jamuan makan tengah hari bersama seluruh warga sekolah di kantin SMAP.
Sesungguhnya, pemergian seorang guru bukanlah kehilangan biasa, tetapi meninggalkan seribu satu kenangan, didikan dan inspirasi yang akan terus mekar dalam ingatan seluruh warga SMAP.
Terima kasih atas segala jasa, pengorbanan dan kasih sayang yang telah dicurahkan sepanjang 34 tahun berkhidmat di SMAP.
Semoga Pn Jaya sentiasa dikurniakan kesihatan, kebahagiaan serta keberkatan dalam setiap langkah kehidupan selepas persaraan.
“Jasamu dikenang, budimu disanjung, kasihmu terpahat selamanya.” ❤️
Click here to claim your Sponsored Listing.
Category
Contact the school
Telephone
Website
Address
Seremban
71900
Opening Hours
| Monday | 08:00 - 17:00 |
| Tuesday | 08:00 - 17:00 |
| Wednesday | 08:00 - 17:00 |
| Thursday | 08:00 - 17:00 |
| Friday | 08:00 - 17:00 |