Agro Event
06/06/2025
PEMBUDAYAAN AWAL MELALUI INTERAKTIF DI EKSPO OSAKA
OSAKA, 6 Jun 2025 – Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 Osaka diserikan dengan kunjungan istimewa daripada kanak-kanak sekolah rendah dan tadika sekitar Jepun yang teruja menyertai pelbagai aktiviti interaktif yang dianjurkan.
Persembahan kebudayaan, permainan tradisional dan demonstrasi kulinari telah berjaya mencuri tumpuan para peserta cilik, sekali gus membuka ruang kepada pemahaman awal tentang keunikan warisan budaya Malaysia. Program ini bukan sahaja memperkenalkan elemen pendidikan awal melalui pendekatan budaya, tetapi turut memperkukuh jalinan hubungan dua hala menerusi pertukaran budaya sejak usia muda.
05/06/2025
JEPUN–MALAYSIA: HALA TUJU PERTANIAN LESTARI
TOKYO, 5 JUN 2025 – Kunjungan Hormat YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan ke atas Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun (MAFF), Encik Koizumi Shinjiro, di Tokyo.
Pertemuan ini membuka ruang dialog strategik yang menekankan kepentingan memperkukuh hubungan dua hala dalam sektor agro-makanan, termasuk kerjasama teknologi hijau, pertanian mampan serta inisiatif keterjaminan makanan di rantau Asia. Sesi dimulakan dengan ucapan aluan oleh Menteri MAFF, diikuti ucapan balas oleh YB Menteri yang turut menyuarakan komitmen Malaysia dalam memperluas kolaborasi teknikal dan pelaburan berimpak tinggi.
Pertemuan ini mencerminkan kesungguhan kedua-dua negara dalam memperkukuh kerjasama strategik demi menjamin keterjaminan makanan serantau dan memacu agenda pertanian mampan pada skala global.
05/06/2025
RASA, ALAMI & HAYATI MALAYSIA DI PAVILION MALAYSIA
OSAKA, 5 JUN 2025 – Pavilion Malaysia terus mencuri tumpuan dengan suasana penuh warna dan aktiviti interaktif yang menyentuh seluruh deria pengunjung. Demonstrasi masakan secara langsung memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai sendiri keenakan sajian Malaysia yang berasaskan produk agro tempatan, memperkenalkan kekayaan rasa yang menjadi kebanggaan negara.
Lebih menarik lagi, persembahan kebudayaan turut menyerikan pavilion dengan alunan muzik tradisional dan tarian interaktif yang disambut meriah oleh pelawat dari pelbagai negara. Keunikan budaya dan semangat perpaduan yang ditonjolkan menggambarkan identiti Malaysia yang terbuka dan mesra.
Pavilion Malaysia bukan sekadar mempamerkan inovasi dalam sektor pertanian, tetapi turut membawa bersama warisan budaya dan cita rasa negara ke persada antarabangsa.
04/06/2025
LAWATAN KERJA YBM KPKM KE ECHIZEN TOWN, FUKUI
FUKUI, 4 Jun 2025 – YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, telah meneruskan lawatan kerja ke Echizen Town, Wilayah Fukui, selepas sesi pertemuan rasmi bersama Kerajaan Wilayah Fukui.
Lawatan ini dimulakan dengan kunjungan hormat kepada Datuk Bandar Echizen, diikuti tinjauan ke kawasan penanaman padi organik yang diusahakan secara mampan oleh komuniti tempatan. Seterusnya, YB Menteri melawat Crab Museum Echizen sebuah pusat pendidikan maritim yang mempamerkan biodiversiti laut Jepun, termasuk spesies ketam ikonik yang menjadi simbol ekonomi dan ekopelancongan tempatan.
Lawatan ini membuka ruang kerjasama dua hala dalam bidang pertanian mampan, teknologi akuakultur, serta pemuliharaan sumber marin, sejajar dengan usaha Malaysia untuk memperkukuh keterjaminan makanan dan kelestarian alam sekitar.
04/06/2025
KELAS MASTER AKUASKAP PERKENAL SENI AKUATIK MALAYSIA DI PAVILION MALAYSIA, EXPO 2025 OSAKA
OSAKA, 4 Jun 2025 – Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 Osaka terus mencuri tumpuan menerusi penganjuran Kelas Master Akuaskap oleh Jabatan Perikanan Malaysia, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), yang berlangsung di Dewan Perniagaan pavilion berkenaan.
Sesi ini menampilkan dua ikon seni akuaskap bertaraf antarabangsa Josh Sim dan Siak Wee Yeo yang berkongsi teknik serta pengalaman mereka dalam menghasilkan landskap akuarium yang artistik dan berinspirasi, di hadapan pengunjung antarabangsa serta komuniti profesional bidang berkenaan.
Usaha ini memperkukuh promosi seni akuaskap Malaysia di pentas dunia, selain menyerlahkan potensi industri perikanan hiasan sebagai salah satu cabang ekonomi kreatif yang berdaya saing dan berinovasi tinggi.
04/06/2025
SESI JARINGAN DAN PADANAN PERNIAGAAN PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK MALAYSIA–JEPUN
OSAKA, 4 Jun 2025 – Sebagai kesinambungan kepada sesi seminar di bawah program Business and Investment Acceleration Programme (BAP), satu sesi Networking Luncheon dan Business Matching telah diadakan, menghimpunkan wakil industri, pelabur serta agensi strategik dari Malaysia dan Jepun.
Sesi ini menyediakan platform berinteraksi secara langsung bagi meneroka potensi kerjasama komersial, pelaburan strategik, serta peluasan pasaran produk agro-makanan Malaysia ke Jepun dan rantau Asia secara menyeluruh. Inisiatif ini memperkukuh usaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam memacu pertumbuhan sektor agro-makanan yang mampan, bernilai tinggi dan berdaya saing di peringkat global.
Click here to claim your Sponsored Listing.
Category
Contact the business
Website
Address
Wisma Tani, No. 28, Persiaran Perdana, Presint 4, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
Putrajaya
62624