Cikgu Razak

Cikgu Razak

Share

10/05/2026

𝗦𝗲𝗹𝗮𝗺𝗮𝘁 𝗛𝗮𝗿𝗶 𝗜𝗯𝘂

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan kasih sayang kepada semua insan bergelar ibu, emak, mama, ummi dan bonda.

Pengorbanan seorang ibu tidak mampu dibalas dengan kata-kata. Dari kecil hingga dewasa, doa, kasih sayang, air mata dan kesabaran seorang ibu sentiasa menjadi kekuatan dalam kehidupan kita.

𝑹𝒂𝒔𝒖𝒍𝒖𝒍𝒍𝒂𝒉 𝑺𝑨𝑾 𝒑𝒆𝒓𝒏𝒂𝒉 𝒅𝒊𝒕𝒂𝒏𝒚𝒂, 𝒔𝒊𝒂𝒑𝒂𝒌𝒂𝒉 𝒊𝒏𝒔𝒂𝒏 𝒚𝒂𝒏𝒈 𝒑𝒂𝒍𝒊𝒏𝒈 𝒃𝒆𝒓𝒉𝒂𝒌 𝒎𝒆𝒏𝒆𝒓𝒊𝒎𝒂 𝒍𝒂𝒚𝒂𝒏𝒂𝒏 𝒕𝒆𝒓𝒃𝒂𝒊𝒌 𝒅𝒂𝒓𝒊𝒑𝒂𝒅𝒂 𝒔𝒆𝒐𝒓𝒂𝒏𝒈 𝒂𝒏𝒂𝒌.
𝑩𝒂𝒈𝒊𝒏𝒅𝒂 𝒎𝒆𝒏𝒋𝒂𝒘𝒂𝒃: “𝑰𝒃𝒖𝒎𝒖.” 𝑫𝒊𝒕𝒂𝒏𝒚𝒂 𝒍𝒂𝒈𝒊, 𝒌𝒆𝒎𝒖𝒅𝒊𝒂𝒏 𝒔𝒊𝒂𝒑𝒂?
𝑩𝒂𝒈𝒊𝒏𝒅𝒂 𝒎𝒆𝒏𝒋𝒂𝒘𝒂𝒃: “𝑰𝒃𝒖𝒎𝒖.” 𝑫𝒊𝒕𝒂𝒏𝒚𝒂 𝒍𝒂𝒈𝒊, 𝒌𝒆𝒎𝒖𝒅𝒊𝒂𝒏 𝒔𝒊𝒂𝒑𝒂?
𝑩𝒂𝒈𝒊𝒏𝒅𝒂 𝒎𝒆𝒏𝒋𝒂𝒘𝒂𝒃: “𝑰𝒃𝒖𝒎𝒖.” 𝑫𝒊𝒕𝒂𝒏𝒚𝒂 𝒍𝒂𝒈𝒊, 𝒌𝒆𝒎𝒖𝒅𝒊𝒂𝒏 𝒔𝒊𝒂𝒑𝒂?
𝑩𝒂𝒈𝒊𝒏𝒅𝒂 𝒎𝒆𝒏𝒋𝒂𝒘𝒂𝒃: “𝑨𝒚𝒂𝒉𝒎𝒖.”
𝑯𝒂𝒅𝒊𝒔 𝒓𝒊𝒘𝒂𝒚𝒂𝒕 𝒂𝒍-𝑩𝒖𝒌𝒉𝒂𝒓𝒊 𝒅𝒂𝒏 𝑴𝒖𝒔𝒍𝒊𝒎.

Hadis ini mengingatkan kita bahawa kedudukan ibu sangat tinggi dalam Islam. Maka, Hari Ibu bukan sekadar sambutan, tetapi satu peringatan untuk terus menghargai, mendoakan dan berbakti kepada ibu selagi hayat dikandung badan.

Semoga semua ibu dikurniakan kesihatan, kebahagiaan, ketenangan jiwa dan keberkatan hidup di dunia serta akhirat.

Selamat Hari Ibu
10 Mei 2026

Salam tulus ikhlas daripada,

𝗖𝗟𝗥 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗥𝗮𝘇𝗮𝗸 𝗯𝗶𝗻 𝗡𝗮𝘇𝗿𝗶
𝗞𝗲𝘁𝘂𝗮 𝗖𝗮𝗯𝗮𝗻𝗴 𝗞𝗘𝗔𝗗𝗜𝗟𝗔𝗡 𝗟𝘂𝗺𝘂𝘁
𝗔𝗵𝗹𝗶 𝗠𝗮𝗷𝗹𝗶𝘀 𝗣𝗲𝗿𝗯𝗮𝗻𝗱𝗮𝗿𝗮𝗻 𝗠𝗮𝗻𝗷𝘂𝗻𝗴

11/04/2026

"𝗪𝗔𝗛𝗔𝗜 𝗔𝗗𝗜𝗡𝗗𝗔 𝗥𝗔𝗙𝗜𝗭𝗜, 𝗝𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗕𝗔𝗞𝗔𝗥 𝗥𝗨𝗠𝗔𝗛 𝗣𝗘𝗥𝗝𝗨𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗞𝗜𝗧𝗔"

Kenyataan YB Rafizi Ramli yang cuba menggambarkan seolah-olah kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen Pandan merupakan isyarat jelas bahawa satu pilihan raya kecil sedang disusun adalah tidak tepat dan berpotensi mengelirukan rakyat.

2. Sebagai seorang tokoh politik yang telah lama berada dalam gelanggang nasional, malah pernah memegang jawatan Menteri Kabinet, YB Rafizi sepatutnya lebih arif dan lebih tertib apabila mengulang sesuatu naratif kepada rakyat. Dalam perkara sebesar ini, kenyataan yang dibuat tidak boleh bersandar kepada persepsi semata-mata, apatah lagi jika ia bercanggah dengan kedudukan sebenar dari sudut Perlembagaan.

3. Hakikatnya mudah. Kehadiran Perdana Menteri ke Pandan bukan bukti bahawa PRK akan berlaku. Malah dalam keadaan semasa, walau apa pun situasi termasuk jika berlaku kekosongan luar jangka sekalipun, kerusi Pandan tidak akan melalui pilihan raya kecil sehingga pilihan raya umum akan datang. Sebab itu, cubaan mengaitkan lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kononnya persiapan ke arah PRK hanyalah andaian politik yang tidak berdiri atas asas undang-undang yang kukuh.

4. Kita menghargai segala sumbangan YB Rafizi dalam parti. Jasa, tenaga dan peranan beliau dalam membina KEADILAN selama ini tidak pernah dinafikan. Namun beliau juga perlu menerima bahawa pemilihan parti sudah lama berlalu. Menang atau kalah adalah lumrah dalam demokrasi dan ia sepatutnya dihadapi dengan jiwa besar, bukan dengan mengulangi naratif yang boleh menggugat keyakinan ahli dan rakyat terhadap parti yang pernah dibina bersama.

5. Dalam politik yang matang, nasihat dan teguran sentiasa ada ruang. Perbezaan pandangan juga boleh diraikan. Tetapi nasihat tidak sepatutnya datang dengan cara membakar rumah perjuangan yang pernah dibina sendiri. Lebih-lebih lagi apabila naratif yang dibawa itu tidak tepat dan akhirnya hanya menimbulkan kekeliruan serta keresahan dalam kalangan rakyat.

6. Rakyat hari ini tidak mahu melihat pemimpin terus tenggelam dalam drama peribadi, emosi kekalahan atau percubaan membina gambaran seolah-olah diri sendiri sentiasa menjadi pusat segala konflik. Rakyat mahu melihat formula yang boleh membawa kestabilan, kematangan dan kesejahteraan. Kita perlu formula demi rakyat, bukan formula untuk mengangkat diri sendiri atau mengekalkan persepsi bahawa diri itulah yang paling tersakiti.

7. Justeru, saya berpandangan YB Rafizi wajar lebih tertib, lebih jujur dan lebih bertanggungjawab dalam mengulangi sesuatu naratif kepada rakyat. Dalam isu ini, yang patut didahulukan ialah fakta, kestabilan dan kepentingan rakyat, bukannya persepsi politik yang hanya membakar rumah perjuangan sendiri.

CIKGU ABDUL RAZAK BIN NAZRI
Ketua Cabang KEADILAN Lumut

Want your public figure to be the top-listed Public Figure in Lumut?
Click here to claim your Sponsored Listing.

Category

Website

Address


Manjung
Lumut