Kg Belukut
16/04/2026
Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Wilayah Persekutuan Labuan (MOTAC Labuan) bersama wakil Perbadanan Labuan telah mengadakan lawatan kerja ke Kampung Belukut. Sesi perbincangan telah berlangsung di Bilik Mesyuarat, Balai Raya Kampung Belukut dengan penglibatan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kg Belukut.
Lawatan ini bertujuan untuk membincangkan potensi dan hala tuju pembangunan produk pelancongan berasaskan komuniti (Community-Based Tourism) di kampung tersebut. Perbincangan memberi fokus kepada usaha mengenal pasti keunikan setempat seperti warisan budaya, keindahan alam semula jadi serta aktiviti masyarakat yang boleh diketengahkan sebagai tarikan pelancongan.
MOTAC Labuan turut menekankan kepentingan penglibatan aktif komuniti dalam merancang dan mengurus produk pelancongan agar manfaat ekonomi dapat dinikmati oleh penduduk setempat secara menyeluruh, selaras dengan aspirasi pembangunan pelancongan yang mampan dan inklusif.
Diharapkan kerjasama erat antara MOTAC Labuan, Perbadanan Labuan dan JPKK Kg Belukut ini dapat merealisasikan hasrat menjadikan Kampung Belukut sebagai salah satu destinasi pelancongan komuniti yang berpotensi dan berdaya saing di Wilayah Persekutuan Labuan
05/04/2026
PENUBUHAN KUMPULAN KOMPANG KG BELUKUT DI BAWAH PROGRAM INISIATIF PENDAPATAN RAKYAT
Kg Belukut terus melangkah maju melalui Program Inisiatif Pendapatan Rakyat dengan penubuhan Kumpulan Kompang Kg Belukut sebagai salah satu usaha memperkasa masyarakat setempat, khususnya golongan belia.
Latihan kompang telah bermula pada 4 April 2026 dengan penyertaan daripada penduduk Kampung Belukut, terutamanya dalam kalangan golongan belia .JPKK Belukut amat mengalu-alukan lebih ramai anak muda, khususnya golongan belia, untuk turut serta dalam sesi latihan yang seterusnya. Ini adalah peluang terbaik untuk mempelajari seni warisan, menimba pengalaman dan bersama-sama memeriahkan aktiviti kampung.
Program latihan ini dikendalikan oleh jurulatih kompang yang berpengalaman bagi memastikan para peserta mendapat bimbingan yang teratur dan berkesan. Selain memupuk minat terhadap seni budaya tradisional, penubuhan kumpulan ini juga dilihat berpotensi menjadi platform menjana pendapatan melalui penyertaan dalam majlis-majlis rasmi, kenduri, perkahwinan dan program komuniti pada masa akan datang.
Semoga inisiatif ini terus berkembang dan menjadi kebanggaan penduduk Kg Belukut dalam memartabatkan seni warisan sambil membuka peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.
21/03/2026
Gema takbir bergema seawal pagi menandakan bermulanya hari kemenangan buat seluruh umat Islam. Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kg Belukut nyata meriah apabila penduduk kampung mula membanjiri Surau Al Ikhlasiah seawal jam 8.00 pagi tadi bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri berjemaah.
Sejurus tamat solat, perkarangan surau dihangatkan lagi dengan majlis beramah mesra dalam satu sambutan ringkas anjuran Surau Al Ikhlasiah. Jemaah mengambil peluang ini untuk saling bermaafan dan mengeratkan ukhuwah sesama komuniti.
Lebih menceriakan suasana, pihak penganjur turut mengadakan majlis penyampaian sumbangan serta edaran duit raya istimewa buat kanak-kanak yang hadir. Kegembiraan jelas terpancar pada wajah setiap penduduk yang merayakan 1 Syawal hari ini
Selamat Hari Raya Aidilfitri diucapkan kepada seluruh warga Kg Belukut. Maaf Zahir & Batin
13/03/2026
Majlis Khatam Al-Quran Surau Al-Ikhlasiah Kampung Belukut Berlangsung Penuh Penghayatan
KAMPUNG BELUKUT, 13 Mac 2026 – Surau Al-Ikhlasiah Kampung Belukut telah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran pada Jumaat malam, bertempat di surau berkenaan, sejurus selesai solat sunat tarawih.
Majlis berkenaan telah dipimpin oleh Ustaz Haji Norazlan, selaku Pengerusi Surau Al-Ikhlasiah, dan berlangsung dalam suasana penuh khusyuk serta penghayatan sempena bulan Ramadan.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Belukut, Encik Asmadi bin Haji Ahmad, selain kehadiran penduduk kampung yang bersama-sama menyaksikan dan menyertai acara tersebut.
Penganjuran majlis itu dilihat sebagai salah satu usaha berterusan dalam mengimarahkan institusi surau di samping menyuburkan budaya membaca serta menghayati Al-Quran dalam kalangan masyarakat setempat.
Selain menjadi simbol kejayaan menamatkan bacaan Al-Quran, majlis tersebut turut menjadi medium penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim dan memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk Kampung Belukut.
Majlis berakhir dengan penuh tertib dan harmoni, sekali gus mencerminkan komitmen masyarakat kampung dalam menjayakan program-program keagamaan yang memberi manfaat kepada seluruh komuniti.
Click here to claim your Sponsored Listing.
Category
Website
Address
Kampung Belukut Simpang Abd Rahman
Labuan
87000