JMG Kedah / Perlis / Pulau Pinang
10/05/2026
KUNJUNGAN HORMAT JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA NEGERI KEDAH KE JMGKPP
📅 23 APRIL 2026
📍 JMG KEDAH/PERLIS/PULAU PINANG, ALOR SETAR
Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Kedah/Perlis/Pulau Pinang (JMGKPP) telah menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Kedah ke pejabat JMGKPP di Alor Setar.
Kunjungan tersebut telah disambut oleh Pengarah JMGKPP bersama pegawai-pegawai jabatan dalam suasana mesra dan penuh profesionalisme.
Sesi ini memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk saling mengenali fungsi dan peranan jabatan masing-masing, di samping mengukuhkan hubungan kerjasama antara agensi kerajaan di peringkat negeri.
Antara perkara yang turut dibincangkan ialah isu berkaitan pendataan pengeluaran bahan mineral dan komoditi daripada sektor lombong dan kuari, serta perkongsian pandangan berkaitan pengurusan maklumat dan statistik yang berkaitan.
Kunjungan ini diharap dapat membuka ruang kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua jabatan dalam menyokong pengurusan data dan penyampaian perkhidmatan yang lebih efektif pada masa hadapan.
10/05/2026
JMGKPP TERIMA KUNJUNGAN JABATAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN (JKKP) PERLIS
📅 20 APRIL 2026
📍 PEJABAT JMG KEDAH/PERLIS/PULAU PINANG, ALOR SETAR
Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Kedah/Perlis/Pulau Pinang (JMGKPP) telah menerima kunjungan hormat daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Perlis ke Pejabat Pengarah JMGKPP di Alor Setar.
Delegasi JKKP Perlis telah diketuai oleh Ts. Mohd Fiqri bin Mohd Hanafi, Timbalan Pengarah Khidmat Teknik. Turut hadir ialah Ir. Khushaida binti Ahmad Khiri, Ketua Seksyen Siasatan dan Pendakwaan bersama pegawai-pegawai JKKP Perlis.
Kunjungan tersebut telah disambut oleh Pengarah JMGKPP, Tuan Azizan bin Ali bersama pegawai-pegawai jabatan.
Sesi perbincangan memberi fokus kepada isu berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dalam sektor kuari dan lombong, termasuk aspek standard operasi, pematuhan peraturan serta bidang kuasa penguatkuasaan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).
Selain itu, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan berkaitan pelaksanaan amalan KKP di tempat kerja bagi memastikan tahap keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan pekerja sentiasa berada pada tahap terbaik.
Kunjungan ini diharap dapat memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara JKKP Perlis dan JMGKPP dalam mempertingkat keberkesanan pengurusan serta penguatkuasaan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan, khususnya dalam industri kuari dan perlombongan.
14/04/2026
JMGKPP MERIAHKAN MINGGU STEM SMK PEDU DENGAN PAMERAN GEOSAINS
Pedu, 6 April 2026 – Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Kedah/Perlis/Pulau Pinang (JMGKPP) telah dijemput untuk membuka reruai pameran sempena Minggu STEM SMK Pedu, yang mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelajar.
Pameran kali ini menampilkan pelbagai bahan menarik seperti model sumber mineral, infografik geologi am Negeri Kedah, serta koleksi fosil, yang berjaya mencuri perhatian dan meningkatkan minat pelajar terhadap bidang geosains.
Sesi pameran ini dikendalikan oleh pegawai geosains, penolong juruukur serta pelajar-pelajar Latihan Industri JMGKPP, yang komited dalam memberi penerangan dan melayan pertanyaan pengunjung dengan penuh dedikasi.
Bagi menambah keterujaan, pelbagai hadiah dan cenderamata turut disediakan kepada para pelajar yang menyertai aktiviti di reruai, sekali gus menjadikan suasana lebih interaktif dan menyeronokkan.
Program ini diharap dapat terus menyemai minat generasi muda terhadap bidang sains, khususnya geosains, serta merapatkan jurang pendedahan STEM antara pelajar bandar dan luar bandar.
Suara takbir bergema, tanda kemenangan dah menjelma 🌙✨
Warga JMGKPP mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin buat semua.
Semoga raya kali ni penuh dengan kegembiraan, keberkatan dan kebersamaan bersama yang tersayang 🤍
Click here to claim your Sponsored Listing.
Category
Website
Address
Jalan Perak, Seberang Jalan Putera
Alor Setar
Opening Hours
| Monday | 09:00 - 17:00 |
| Tuesday | 09:00 - 17:00 |
| Wednesday | 09:00 - 17:00 |
| Thursday | 09:00 - 15:00 |
| Sunday | 09:00 - 17:00 |