Tun Fuzi
30/04/2025
28 APRIL 2025 (29 SYAWAL 1446H) – TYT Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak dan YABhg. Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah binti Mohd Nor telah berkenan menghadiri Majlis Makan Malam Junjungan Kasih Sanjungan Budi anjuran Kerajaan Negeri yang berlangsung di The Light Hotel, Pulau Pinang.
TYT Tun, dalam ucapan beliau, menyatakan bahawa sepanjang menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertua Negeri, beliau sentiasa berusaha melaksanakannya dengan sebaik mungkin agar martabat serta integriti institusi tertinggi negeri ini sentiasa terpelihara.
“Saya amat berharap potensi besar yang dimiliki negeri ini dapat digembleng secara strategik dalam menjayakan visi pembangunan ekonomi berimpak tinggi merentasi pelbagai sektor. Transformasi ini harus digerakkan selari dengan falsafah pembahagian ekonomi yang adil dan saksama demi kebahagiaan serta kesejahteraan rakyat berbilang kaum,” ujar TYT Tun.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat Pulau Pinang atas sokongan, rasa hormat serta kasih sayang yang dizahirkan sepanjang beliau menyandang amanah sebagai Ketua Negeri. TYT Tun menzahirkan rasa terharu atas penghormatan tersebut, yang pastinya akan dikenang beliau dan Toh Puan sepanjang hayat.
“Sepanjang empat tahun Tuan Yang Terutama Tun memayungi bumi Pulau Pinang, limpahan jasa dan sumbangan yang ditinggalkan ibarat jejak emas yang terpahat di tanah sejarah negeri ini. Kepimpinan Tuan Yang Terutama Tun bukan sekadar melindungi, bahkan menyubur, membangunkan dan menyantuni segenap lapisan rakyat dengan jiwa besar yang penuh kasih sayang,“ ujar Ketua Menteri.
TYT Tun akan menamatkan perkhidmatan secara rasmi pada 30 April 2025.
27/04/2025
27 APR 2025 (28 SYAWAL 1446H) - TYT Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak dan YABhg. Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah binti Mohd Nor menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Tentera Laut ke-91 kepada seluruh warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), khususnya yang bertempat di Markas Wilayah Laut III dan unit bawah naungan.
TYT Tun merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga TLDM serta para veteran atas segala jasa, khidmat dan pengorbanan dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan perairan negara, tanpa mengira masa, situasi mahupun keletihan.