Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis - JAIPs Laman Rasmi
14/05/2026
DARI MIMBAR JUMAAT NEGERI PERLIS
13/05/2026
FORUM IHYA MASJID SEMARAK DAKWAH
“Institusi Agama: Perkasa Bukan Dipersenda”
BESERI, 13 Mei 2026 – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dengan kerjasama Masjid Jamek, Beseri telah menganjurkan Forum Ihya’ Masjid Semarak Dakwah bertajuk “Institusi Agama: Perkasa Bukan Dipersenda” selepas Solat Maghrib di masjid berkenaan.
Forum tersebut menampilkan dua ahli panel iaitu Prof Basri bin Ibrahim dan Ustaz Tajul Urus bin Abdul Halim, manakala sesi forum dikendalikan oleh moderator, Ust Raja Muhd Azman bin Raja Azam.
Perbincangan forum memberi fokus kepada cabaran institusi agama dalam era digital masa kini termasuk isu persepsi masyarakat, budaya mempersenda agama di media sosial serta peranan masjid dan pendakwah dalam membina kefahaman Islam yang sahih dan seimbang.
Antara isu yang diketengahkan ialah faktor institusi agama menjadi sasaran kritikan dan sindiran masyarakat, pendekatan terbaik untuk memperkukuhkan hubungan antara institusi agama dengan masyarakat serta langkah membendung budaya mempermainkan hukum dan agama atas nama hiburan dan kebebasan bersuara.
Panel turut menekankan bahawa institusi agama perlu terus diperkasa melalui pendekatan ilmu, hikmah, komunikasi berkesan dan hubungan yang lebih dekat dengan masyarakat khususnya golongan muda. Pada masa yang sama, masyarakat diseru supaya lebih beradab dalam berbicara tentang agama serta tidak mudah terpengaruh dengan maklumat atau persepsi yang tidak sahih.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha dakwah dan pengimarahan masjid di bawah pelaksanaan Forum Ihya’ Masjid Semarak Dakwah anjuran JAIPs bersama masjid-masjid seluruh negeri Perlis.
12/05/2026
TEMUDUGA PEGAWAI MASJID (IMAM & BILAL) NEGERI PERLIS BIL. 4 TAHUN 2026
KANGAR, 12 Mei 2026 – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) hari ini telah mengadakan Sesi Temuduga Pegawai Masjid (Imam dan Bilal) Negeri Perlis Bilangan 4 Tahun 2026 melibatkan seramai 13 orang calon.
Sesi temuduga ini dijalankan bagi meneliti kelayakan dan potensi calon untuk mengisi kekosongan jawatan pegawai masjid di beberapa kariah seluruh negeri Perlis.
Selain aspek pengetahuan agama dan bacaan, calon turut dinilai dari sudut kepimpinan, komunikasi serta kesediaan dalam membantu mengimarahkan institusi masjid dan masyarakat setempat.
11/05/2026
𝗗𝗲𝗹𝗲𝗴𝗮𝘀𝗶 𝗝𝗔𝗜𝗣𝘀 𝗦𝗮𝗻𝘁𝘂𝗻𝗶 𝗣𝗲𝗺𝗲𝗻𝗮𝗻𝗴 𝗙𝗜𝗘𝗦𝗧𝗔 𝟮𝟬𝟮𝟲 𝗱𝗶 𝗣𝗵𝗮𝘁𝘁𝗵𝗮𝗹𝘂𝗻𝗴: 𝗠𝗲𝗺𝗽𝗲𝗿𝗸𝘂𝗸𝘂𝗵 𝗨𝗸𝗵𝘂𝘄𝗮𝗵 𝗱𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗻𝗱𝗶𝗱𝗶𝗸𝗮𝗻 𝗜𝘀𝗹𝗮𝗺 𝗦𝗲𝗿𝗮𝗻𝘁𝗮𝘂
Pada 11 Mei 2026, jam 2.30 petang, rombongan JAIPs telah tiba di The Islamic Committee of Province Phatthalung di Daerah Pa Bon, Phattalung dan disambut mesra oleh Ustaz Sufyan selaku Yang Dipertua bersama ahli-ahli majlis. Delegasi kemudiannya dibawa ke Markaz Lit Tahfiz di Mae Khari untuk jamuan dan seterusnya berlangsung Sesi Penyampaian Saguhati kepada pemenang FIESTA 2026 yang turut disaksikan oleh Ustaz Qamaruddin, Mudir Markaz Tahfiz. Dalam majlis tersebut, KPP Pendidikan JAIPs telah menyampaikan sesi perkongsian bersama seluruh pelajar di markaz tahfiz, menekankan kepentingan ukhuwah dan pembangunan pendidikan Islam serantau. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang yang diraikan dalam suasana penuh mesra dan bersemangat.